Isnin, 2 Julai 2012

Nasa Mengeluarkan Kenyataan Matahari Akan Terbit Dari Barat Posted on the July 2nd, 2012 under Agama,Luar Negara by admin Sains astronomi ada menyebut bahawa kelajuan putaran planet Marikh sedang perlahan sedikit demi sedikit ke arah laluannya ke timur. Para saintis agensi angkasa lepas kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) pula mendapati pergerakan planet itu terhenti ke arah laluan tersebut. NASA kemudian mendapati planet Marikh telah menukar laluannya ke arah yang bertentangan, iaitu ke arah Barat, ini bermakna matahari akan terbit dari arah barat Marikh. Fenomena yang ganjil itu disebut sebagai “retrograde motion”. Kebanyakan saintis Barat berpendapat bahawa semua planet akan melalui fenomena yang serupa dan ini termasuklah planet Bumi. Apabila ianya berlaku, maka matahari akan terbit dari Barat!
Subhanallah! Kekasih Allah Nabi Muhammad s.a.w. bersabda bahawa salah satu tanda besar yang hari kiamat akan tiba ialah apabila matahari terbit dari Barat. Pihak NASA telahpun mendapati tanda-tanda matahari akan terbit dari Barat semasa ahli sains astronominya mengkaji pergerakan planet Marikh. Yang mereka tidak dapat pastikan ialah tempoh masa yang bakal diambil sehinggalah semua planet melalui fenomena yang serupa. Dapatan sains oleh NASA itu semestinya memperkukuhkan lagi iman umat Islam akan tanda-tanda kiamat. Manusia tidak tahu bila ianya akan berlaku walaupun sudah ada banyak tanda-tandanya. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Keratan akhbar yang menyatakan bahawa NASA telah mengeluarkan kenyataan berkenaan isu ini TEORI QURAN VS TEORI BARAT Kalau di kaji dengan teliti, teori yang dijelaskan Al-Quran ini agak berbeza dari teori-teori barat. Yang pertama, Al-Quran menjelaskan bulan yang menyebabkan bumi bertukar arah. Al-Quran menunjukkan perkaitan yang erat dan rapat antara bumi dan bulan. Tetapi teori barat tidak ‘nampak’ pun peranan bulan dalam proses kejadian ini. Yang ke-duanya, teori Al-Quran nampak lebih jelas dan mudah difahami, malah boleh dibuktikan melalui ujikaji makmal. Sedangkan teori barat tidak dapat diuji dalam makmal dan tidak menunjukkan keadaan matahari akan naik dari barat! Kalau berlaku perlanggaran yang teramat dahsyat (dengan komet yang besar), maka bumi akan hancur! Perlanggaran ‘kecil’ (seperti yang berlaku di Mexico) tidak akan dapat menukar putaran bumi. Lagi pun sekiranya komet melanggar bumi dari “arah yang salah” ianya mungkin akan menambah kelajuan pusingan yang ada sekarang misalkan dari 24 jam kepada 10 jam sahaja/hari. Sekiranya bumi berputar pada kelajuan ini, maka kelajuan objek yang berada pada permukaan equator (atau khatulistiwa) ialah kira-kira 4,000 km/sejam yang akan memusnahkan segala-galanya yang ada dipermukaan bumi seperti rumah, bangunan, tumbuhan, pohon kayu, dan manusia serta binatang-binatang akan berterbangan. Lagi pun untuk membolehkan bumi perputar pada arah bertentangan, komet yang melanggar bumi mesti pergerak pada kelajuan lebih dari 2 kali kelajuan putaran bumi iaitu 3,300 km/jam (sekiranya saiz komet sama besar dengan saiz bumi), dan mesti melanggar bumi pada sudut dan lokasi yang tepat. Kalau ianya melanggar pada kutub utara, maka matahari tidak akan ‘terbit dari barat’. Yang ke-tiga, teori Al-Quran adalah lebih tepat sebab tidak berlaku kerosakkan yang besar kepada makhluk di bumi. Sekiranya berlaku kemusnahan yang besar (misalnya bumi hancur), maka ini bermakna sudah “betul-betul kiamat” dan bukannya lagi “hampir kiamat”. Di dalam hadith di atas menjelaskan selepas matahari naik dari barat maka segala amalan dan taubat tidak diterima lagi, dan dajal akan turun ke bumi (ini menunjukkan manusia masih lagi hidup di bumi, dan berjalan seperti biasa). Tambahan pula Al-Quran menyatakan (15:76) manusia akan melihat jalan-jalan tetap tegak, nampak seperti biasa tanpa sebarang kerosakan, dan masih boleh dilalui. Ke-empat, penjelasan Al-Quran lebih menyeluruh dan dari teori barat. Ahli sains telah mendapati bahawa terdapat ‘2’ jenis permukaan bulan iaitu permukaan yang cerah (yang sentiasa mengadap bumi), dan permukaan gelap (yang sentiasa membelakangi bumi). Ke dua-dua permukaan ini mempunyai ciri-ciri yang berbeza yang amat ketara seperti warna, daya graviti, kandungan bahan-bahan, ketumpatan dan kemampatan, keradioaktifan, dan sebagainya. Oleh itu apabila bulan merekah ia akan merubah polar graviti, mengeluarkan tenaga elektromagnetik yang boleh menyebabkan daya graviti dan magnet bumi bertindak balas.

Sabtu, 16 Jun 2012

Si Bijaksana Dan Si Inventor

Luqman Hakim adalah seorang genius yang disebut dalam al-Quran. Kisah beliau diabadikan dalam sebuah surah bernama Luqman, yang mengandungi 34 ayat. Tuhan memaklumkan dalam ayat 12 surah Luqman, "Sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya) "Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)." Apakah itu hikmah? Hikmah sering dikaitkan dengan sifat arif dan bijaksana. Ia dimiliki oleh orang berilmu, namun tidak semua orang berilmu memilikinya. Menurut penulis Ruh al-Bayan, hikmah adalah ketepatan dalam memilih yang benar dengan lisan, ketepatan dalam berfikir dengan bantuan anggota badan dan ketepatan bergerak dengan anggota badan. Sekiranya berbicara, Luqman berbicara dengan hikmah. Sekiranya berfikir, beliau berfikir dengan hikmah dan sekiranya bergerak, beliau bergerak dengan hikmah juga. Ramai orang bertanya kepadanya, "Daripada siapa tuan mempelajari hikmah?" Jawab Luqman,"Saya mempelajari hikmah daripada orang-orang bodoh, dan orang-orang bodoh. Saya melihat ada cacat pada diri mereka lalu saya berusaha menjauhinya." Thomas Edison adalah seorang inventor yang berjaya mencipta mentol lampu pada tahun 1879. Sebelum itu 9999 cubaannya tidak berjaya. Namun kata beliau,"Saya tidak gagal. Saya berjaya menemui 9999 cara yang tidak menghasilkan mentol lampu." Dalam cubaannya yang ke-10,000 barulah mentol lampu beliau menyala. Kata bijak pandai, kehebatan seorang pemikir terletak pada kemampuannya meneka dengan tepat hasil sesuatu tindakan. Itu adalah salah satu ciri hikmah. Sebab itulah pemikir yang hebat secara tepat sentiasa berjaya menghasilkan sesuatu. Bagaimanakah cara kita dapat meneka secara tepat apa yang akan berlaku? Salah satu caranya ialah melihat apa yang sudah berjaya dan apa yang tidak. Namun dalam kes Thomas Edison, didapati ada lebih banyak cara yang tidak betul berbanding cara yang betul, dengan nisbah 9999:1. Dalam hidup, boleh jadi yang lebih penting ialah berusaha meninggalkan apa-apa yang tidak betul, bukannya lebih mencuba apa-apa yang kita sangka betul. Luqman Hakim menjadi bijak dengan melihat kebodohan pada orang lain dan kemudian berusaha tidak melakukannya. Beliau sudah melihat sesuatu yang bodoh, lalu berusaha supaya dirinya tidak mengulang kebodohan itu. Dalam kes Thomas Edison, beliau juga tidak mengulang kesilapan. Namun 9999 kesilapan itu terpaksa dilaluinya sendiri terlebih dahulu. Boleh jadi sebelum itu, tiada sesiapa pernah cuba mencipta mentol lampu. Jadi Thomas Edison tidak dapat belajar daripada kesilapan orang itu. (Boleh jadi juga sebelum itu kitab cara-cara mencipta mentol lampu sudah ada, namun telah dibakar oleh orang-orang Mongol). Apapun, Thomas Edison terpaksa menghabiskan masanya bagi melalui 9999 kesilapan sambil berusaha tidak mengulang 9999 kesilapannya sendiri itu. Sehinggalah pada suatu hari beliau berjaya menemui satu cara yang betul. Nasib baik usianya panjang. Beliau berjaya menyudahkan 10,000 eksperimen. Nasib kita mungkin tidak sebaik Thomas. Boleh jadi tempoh usia kita tidak panjang. Maut sentiasa mengikut kita di belakang. Setiap hari ia semakin dekat. Masa kita semakin kurang, jadi kita perlu bijak memanfaatkan apa yang sedikit. Meneladani Luqman Hakim, genius yang disebut dalam al-Quran, lebih baik kita belajar daripada orang, dengan tidak mengulanginya kebodohan mereka. Jangan juga kita jadi seperti Thomas Edison yang terpaksa belajar daripada kesilapannya sendiri. Pada pendapat saya, boleh jadi itu antara kebaikannya alim ulamak menasihatkan kita supaya berguru dengan orang. Tidak cukup hanya berguru dengan buku. Manusia itu sentiasa belajar. Guru yang terbaik sudah tentulah orang yang bijaksana dan berhikmah. Kerana mereka sentiasa belajar daripada kesilapan orang dan kesilapan mereka sendiri. - Artikel iluvislam.com

Khamis, 3 Februari 2011

Alangkah Indahnya Kalau...

Bismillahirrahmanirrahim.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.

Jumaat, 4 Jun 2010

Normalisasi Muqaddimah Zina

PAKEJ

Di pangkal, di tengah atau di hujung, Islam ada caranya yang tersendiri untuk berfungsi. Tetapi sebagai sebuah sistem, Islam mesti diambil seawal langkah yang pertama.

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) SEGALA hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan. Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata” [al-Baqarah 2: 208]

Demikian Allah berpesan.

Apabila Islam diambil, ambillah ia secara sempurna. Pakej yang lengkap. Menerima sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain, adalah cara Syaitan menyesatkan manusia, sedangkan Syaitan itu adalah musuh manusia yang amat nyata. Kelihatannya di sepanjang sejarah manusia, Syaitan itu makhluk yang sabarnya sering mengatasi manusia. Syaitan tidak tergesa-gesa untuk mencapai misinya. Segalanya berlaku secara berperingkat, sedikit demi sedikit, dalam kealpaan manusia yang tidak menyedarinya.

Itulah enjin di sebalik musibah buang bayi di negara kita.

Buang bayi kerana berleluasanya zina.

Berleluasanya zina kerana pencegahannya tidak mengambil acuan Islam.

“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya ia adalah suatu kecelaan dan seburuk-buruk jalan pilihan manusia” [al-Israa' 17: 32]

Allah tahu, zina itu sedap dan nikmat. Menolaknya jika sekadar menolaknya, terlalu sukar. Justeru sama seperti maksiat-maksiat yang lain, Allah bantu kita untuk mengelaknya dengan menutup pintu-pintu kepada zina. Sesungguhnya menolak zina hanya menjadi realiti apabila MUQADDIMAH ZINA dilihat sebagai muqaddimah zina yang mesti dihindari.

Apakah muqaddimah zina yang mesti dicegah itu?

1. MENUNDUKKAN PANDANGAN

Tingkap itu yang mesti dipelihara. Jendela penglihatan yang turun ke hati dan kemaluan. Menundukkan pandangan itu bermaksud memelihara penglihatan daripada melihat perkara haram. Perkara yang merangsang libido dan mengundang diri kepada zina. Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.” [al-Nur 24: 30]

Wanita-wanita yang beriman itu juga diberikan saranan yang sama. Di dalam ayat yang menyusul perintah di atas, Allah memerintahkan kaum wanita seperti kaum lelaki, sama-sama memelihara pandangan daripada melihat apa yang tidak diharuskan baginya melihat.

“Alahai, takkanlah baru tengok sudah mahu berzina!” seorang manusia mahu berbijak-bijak berhujah dengan Tuhan.

Dia lupa, fitnah penglihatan dan zina bukan urusan rasional. Ia urusan nafsu dan kemaluan. Urusan hati yang membuat pertimbangan. Justeru itu Allah berpesan, “yang demikian itu lebih suci bagi mereka”. Muqaddimah zina ini bukan hanya urusan di peringkat individu. Ia bertujuan membentuk suasana yang sihat. Saling bekerjasama untuk mewujudkan suasana yang tidak mengundang zina.

2. MEMELIHARA AURAT

Menundukkan pandangan daripada perkara haram menjadi lebih mudah apabila perkara haram itu tercegah dalam daerah halalnya. Anggota tubuh yang perlu diberi perlindungan, adalah cara seseorang memuliakan dirinya sendiri dan menghormati orang lain yang bermata lagi berhati, juga bernafsu.

Peliharalah aurat.

Wanita.

Lelaki.

Sama sahaja.

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…” [al-Nur 24: 31]

Perintahnya bukan perintah menutup rambut.

Perintahnya adalah perintah memelihara aurat.

3. TIDAK BERTABARRUJ JAHILIAH

Menutup aurat itu cara Allah mengajar kita membentuk diri. Biar dengan menutup aurat itu kita belajar menganut sifat malu, belajar mengenal batas-batas diri yang mewujudkan rasa berTuhan dalam kehidupan dengan batasan-batasan itu.

“Dan hendaklah kamu melazimkan diri berada di rumah kamu serta janganlah kamu mendedah, menghias dan menonjolkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu” [Al-Ahzaab 33: 33]

“Saya sudah menutup aurat!” kata seorang perempuan yang bertudung.

Beliau terlepas pandang, tudungnya memang bertudung tetapi solekan di bibir dan kelopak matanya sangat keterlaluan, di dalam tudungnya ada bonggol sanggul yang sengaja ditolak ke atas meninggikan kepala, kakinya memakai rantai berloceng, hingga setiap inci tubuhnya menarik perhatian untuk dilihat dan direnung, biar pun beliau itu bertudung.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam telah bersabda :

Dua golongan yang termasuk dari kalangan ahli neraka yang tak pernah aku lihat iaitu yang pertama mereka yang memegang cemeti seperti ekor lembu (bentuk cemeti itu seperti ekor lembu yang berbulu-bulu dan berambut-rambut) dan mereka memukul manusia dengan cemeti tersebut. Yang kedua adalah perempuan memakai pakaian tetapi keadaanya umpama telanjang (ketat), dan perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya (ataupun sekarang ikatan rambutnya) umpama bonggol unta.Dan perempuan yang sebegini keadaanya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. [Hadith riwayat Muslim no. 2128]

Bertudung. Tetapi masih mahu menarik perhatian orang memandang dan membelek.

Justeru hilanglah hikmah memelihara aurat.

Biar pun rambut ditutup, dia masih kaya dengan elemen Jazb al-Intibah (menarik perhatian dan pandangan orang).

4. BERURUSAN DENGAN BATASAN

Bekerja, belajar, bermesyuarat, berjiran dan bermasyarakat, semuanya harus.

Namun keharusan itu harus dipandu oleh batasan.

Silang jantina perlu mengenal keperluan dan tujuan, jangan hanya berpandukan kemahuan.

“Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta daripada mereka maka mintalah kepada mereka dengan perantaraan hijab. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” [al-Ahzaab 33: 53]

Sama ada hijab itu berupa tabir yang fizikal, atau sekurang-kurangnya mengekalkan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Bermesyuaratlah, tetapi biar seadanya.

“Hai, takkanlah sembang-sembang sudah terangsang?” hujah seorang bijak pandai di syarikat Multinasional.

“Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” jawab Allah.

Dia yang memiliki hati. Dia tahu sifat baik dan buruk hatimu. Justeru nasihat-Nya tentang hati itulah nasihat terbaik untuk manusia yang mahu berhati-hati.

Lihatlah di pejabat, siapa di meja sebelah, siapa di kubikel depan, keluar makan tengah hari dengan siapa, dari Stesyen LRT ke pejabat tumpang kereta siapa, pergi ke site atau bertemu pelanggan naik kereta siapa, semua itulah yang perlu dipertimbangkan kembali, kerana melakukannya tanpa batasan adalah MUQADDIMAH ZINA.

5. TIDAK MELUNAKKAN SUARA

Dengar suara, mahu orangnya.

Itu akibat manusia-manusia yang hatinya berpenyakit.

Sakitnya pula letak di hati yang tidak kelihatan. Justeru jangan cari penyakit. Jangan lunakkan suara semasa berbicara. Bersahaja, sederhana, seperti biasa, jangan dimanja-manja, jangan mengada-ngada.

“Andaikata kamu benar-benar beriman, maka janganlah kamu lunak-lunakkan suara semasa berbicara. Nantinya orang-orang yang hatinya berpenyakit menjadi tamak. Justeru berbicaralah dengan perbicaraan yang maaruf” [al-Ahzaab 33: 32]

NORMALISASI MUQADDIMAH ZINA

Mencegah lebih baik daripada mengubat… bukan slogan tanpa asas!

Cabarannya, bagaimanakah penerimaan kita terhadap saranan-saranan Allah ini?

Percaya bahawa kita lebih bijak daripada-Nya?

Semua perintah dan larangan yang dihimpunkan itu tadi (sebagai memetik sebahagiannya) telah mengalami normalisasi. Semuanya sudah diterima sebagai satu cara hidup semasa.

“Make sure you balik before Midnite, ok. This is my house. You follow my rule!” kata si ayah yang ‘cool’.

Anak lelakinya keluar menonton wayang dengan rakan silang jantina.

Muqaddimah zina sudah jadi biasa. Sudah tidak lagi dianggap salah. Ia diterima sebagai satu cara hidup kontemporari, tidak hanya di kota malah di desa. Sudah jadi biasa. Lantas buruk benar kalau ia tiba-tiba digelar sebagai Muqaddimah Zina!

Itulah NORMALISASI…

“Alaa, she’s still young. Let her taste the excitement. Just be herself. Jangan hipokrit. Nanti bila nak pakai tudung tu, dia pakailah. Kita doakan!” kata si emak melihat anak perempuannya keluar rumah dengan penuh gaya.

Memaksa diri bertudung kerana di dunia ini ada Tuhan, namanya hipokrit?

Akhirnya, menutup pintu Muqaddimah Zina dianggap kolot.

Walhal itulah hidup bertamadun. Hidup yang tahu membataskan diri.

Bergaul sesuka hati, menyentuh sesedap rasa, menunggang tak kenal agama, itu Lifestyle rimba.

“Nampakkah kamu keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.” [al-Furqan 25: 43-44]

Saksikanlah ya Allah bahawa aku berusaha menyampaikan!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Isnin, 24 Mei 2010

BIARKAN SILUNCAI TERJUN DENGAN LABU-LABUNYA!

Kadangkala mendidik secara perlambangan, lebih mengesankan. Menegur secara metafora, kurang menyakitkan. Memperingat secara analogi, lebih melunakkan hati. Begitulah yang saya yakin dalam usaha kita menyedarkan diri sendiri dan orang lain.

Mesej yang baik, perlu disampaikan dengan cara yang baik dan pada ketika yang baik… Namun jika dimarah juga, kita berserah kepada Allah. Kita manusia yang lemah, Allah jua yang memberi hidayah.

Keceluparan kerapkali mengundang bencana. Kata pepatah, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Terlajak perahu boleh dibelok, terlajak kata buruk padahnya. Begitulah yang terjadi pada Si Luncai. Akibat kata-katanya, dia dimurkai raja.

Apa tidaknya, ketika menghadap raja, terluncur kata dari mulutnya bahawa muka raja mirip wajah arwah bapanya. Raja yang zalim itu terasa dipersendakan. Baginya, mukanya tidak sekali-kali boleh disamakan dengan rakyat biasa … apatah lagi dengan muka arwah bapa Si Luncai yang miskin dan dipandang hina itu. Tanpa mempertimbangkan perkara ini dengan adil dan teliti, raja pun menjatuhkan hukuman. Penghinaan Si Luncai mesti dibayar dengan nyawa. Dan untuk itu, Si Luncai dihukum bunuh secara dicampakkan ke tengah laut.

Namun Si Luncai bukan anak sembarangan. Yang miskin cuma hartanya, bukan minda dan ketangkasan fikirannya. Otaknya bergeliga dengan pelbagai taktik licik untuk menyelesaikan masalah. Walaupun telah dihukum mati, Si Luncai tidak panik. Sebelum dia dibawa dengan sampan untuk dicampakkan ke tengah laut, dia sempat membeli sebiji labu besar. Sejak itu dia menangis berhiba-hiba sambil mengusap-usap labu itu.

Selang beberapa ketika, dua orang pengawal istana pun tiba untuk melaksanakan hukuman. Dengan senjata yang lengkap, mereka berdua bersedia untuk membawa Si Luncai dengan sampan untuk dihumban ke tengah laut. Menyedari kedatangan pengawal itu, Si Luncai pun tambah beria-ia menangis sambil membelai-belai labu airnya. Melihat telatah Si Luncai, dua pengawal kehairanan lalu bertanya, “Kenapa kamu menangis dan memeluklabu ini?”
Si Luncai pun menjawab, “Hamba terkenangkan arwah bapa hamba, bukankah hamba akan berjumpanya sebentar lagi.”
Melihat perilaku Si Luncai itu, kedua-dua pengawal berasa kasihan. Mereka pun membenarkan Si Luncai membawa labu itu bersama dalam sampan untuk menuju ke tengah laut. Sewaktu mereka sedang mengayuh, Si Luncai pun memulakan strategi untuk menyelamatkan diri. Dia berkata, “Sebelum hamba mati, bolehkah tuan hamba berdua menunaikan hajat hamba?”
Seorang daripada pengawal itu menjawab, “Boleh jika hajat itu tidak berat.”

Si Luncai gembira seraya berkata, “Memang tidak berat. Tuan hamba berdua hanya perlu menyanyi satu lagu untuk hamba.”
“Lagu apa?” tanya kedua-dua pengawal itu.
“Mudah sahaja, pengawal yang duduk di belakang hamba hendaklah mengulang kata yang begini, Si Luncai terjun dengan labu-labunya … Manakala tuan hamba yang di hadapan pula membalas, Biarkan, biarkan … .”
“Baiklah,” jawab kedua-dua pengawal itu tanpa mengesyaki apa-apa.
Mereka pun sama-sama menyanyi.
Si Luncai terjun dengan labu-labunya.
Biarkan, biarkan … .

Senikata itu dilagukan berulang-ulang serentak dengan kayuhan sampan. Semakin lama semakin rancak. Setelah agak lama, kedua-dua pengawal itu semakin terleka. Pada saat itulah Si Luncai pun terjun dari sampan untuk menyelamatkan diri. Melihat hal itu, pengawal yang di belakang segera memberitahu kawannya yang di hadapan, “Si Luncai terjun dengan labunya!”

Malangnya, pengawal di hadapan terus menjawab, “Biarkan, biarkan…” Dia menyangka, pemberitahuan itu masih lagi sebahagian senikata lagu yang mereka nyanyikan sebelumnya.

Setelah Si Luncai jauh berenang menyelamatkan diri, barulah pengawal dihadapan itu menyedari kejadian sebenarnya. Tetapi apa boleh buat, Si Luncai telah berjaya menyelamatkan diri. Mereka pun pulang tanpa memberitahu raja hal sebenarnya. Apa tidaknya, jika silap perhitungan, mereka pula akan dihukum. Si Luncai yang telah selamat daripada lemas, lari menyembunyikan diri. Namun dalam hatinya menyimpan dendam yang sangat mendalam kepada raja yang zalim dan angkuh itu. Setiap hari dia memikirkan bagaimanakah caranya untuk membalas dendam. Padanya, raja adil raja disembah, raja zalim, raja disanggah. Setelah beberapa hari lamanya, barulah Si Luncai mendapat idea.

Pada hari yang terpilih itu, Si Luncai pun mengenakan baju serba putih lengkap dengan serbannya sekali. Imej yang dibinanya adalah imej orang alim lagi warak.
Setelah itu dia pun dengan beraninya pergi ke istana raja. Melihat Si Luncai datang, terkejutlah seisi istana, kerana tidak menyangka yang Si Luncai telah ‘hidup’ kembali. Raja pun keluar dan terjadilah pertemuan baginda dengan Si Luncai buat kali kedua.
“Apa yang terjadi kepada kamu?” tanya baginda.
“Alhamdulillah, patik sekarang telah insaf … patik akan menjadi orang alim. Patik tidak perlukan apa-apa lagi dalam hidup ini.”
“Apa yang terjadi kepada kamu?”
“Patik telah sampai ke alam arwah dan bertemu dengan arwah-arwah orang yang telah mati … termasuk arwah ayah patih dan almarhum ayahanda tuanku.”
“Armarhum ayahanda beta? Bagaimana gerangannya di sana?”
“Ampun, tuanku. Almarhum sangat dukacita kerana perbuatan tuanku.”

“Apa yang beta lakukan?”
“Entahlah, almarhum cuma berdiam diri. Katanya baginda ingin bertemu sendiri dengan tuanku untuk memberi nasihat,” kata Si Luncai.
“Bagaimana, bolehkah beta bertemu ayahanda beta?”
“Masakan tidak, hamba yang hina ini pun boleh, apalagi tuanku yang mulia.”

Si Luncai tersenyum dalam hatinya. Perangkapnya sudah mengena. Raja yang zalim tapi bodoh itu akan berjaya ditipunya.
“Bagimanakah cara?” tanya raja.
“Begini … tuanku hendaklah masuk ke dalam laut dalam peti yang dilubangi. Patik dahulu pun begitu juga. Di dasar lautlah akan berlaku pertemuan itu nanti.”
Tanpa berfikir panjang, raja pun bersetuju. Pendek cerita, raja pun dibuang ke laut di dalam peti yang berlubang. Apalagi, air pun masuk dan raja pun mati lemas. Si Luncai lari menyembunyikan diri dan tidak diketahui lagi keadaan dan nasibnya selepas itu.

Apa yang boleh kita pelajari daripada kisah Si Luncai ini? Selain daripada keburukan akibat keceluparan berkata-kata, cerita yang sarat dengan unsur satira ini penuh dengan sindiran dan pengajaran yang sangat tajam dan menusuk hati. Si Luncai adalah ‘gambaran’ orang bawahan yang berdepan dengan kezaliman atasannya. Walaupun tanpa kuasa dan senjata, Si Luncai berjaya mengalahkan raja berbekalkan minda, keberanian dan kemahuan.

Cerita ini juga mengisahkan bagaimana akibat buruk yang boleh menimpa rakyat jika diperintah secara zalim oleh seorang pemerintah yang ego dan dungu. Pemerintah yang begini bukan sahaja berpotensi memporak-perandakan negara bahkan akhirnya memakan diri sendiri. Kisah Si Luncai juga memaparkan bagaimana ‘agama’ dan ‘kerohanian’ boleh dijadikan ‘alat’ untuk mengeksploitasi orang lain demi kepentingan diri dan puak.

Ironisnya, kisah Si Luncai ini relevan sehingga sekarang. Penguasaan ilmu dengan konsep ‘knowledge is power’ (pengetahuan itu kuasa) semakin dominan dalam konteks k-ekonomi sekarang ini. Penguasaan ilmu semakin penting justeru ia sangat dominan peranannya dalam bidang ekonomi, ketenteraan, sosial dan lain-lain. Si Luncai moden boleh jadi mampu menguasai sebuah negara dan dunia dengan ilmunya, justeru ilmu lebih berpengaruh daripada harta dan senjata.

Mungkin falsafah daripada cerita Si Luncai ini boleh diperluaskan dalam konteks negara-negara membangun dalam menghadapi perancangan kotor negara-negara maju. Walaupun kuasa besar itu kuat di sudut ketenteraan, dengan kebijaksanaan kita mampu pula menghadapi perancangan jahat mereka.

Kita tidak memilih strategi ‘hantuk kepala’ yakni berdepan dengan kejahatan secara membabi-buta. Dunia Islam pada dasarnya, belum bersedia untuk berdepan secara terbuka dengan Barat. Iraq, Taliban dan Libya pernah mencuba, tetapi akhirnya kecundang. Apa yang kita pelajari di sini adalah: Jika lemah senjata dan harta, gunakan kekuatan minda dan jiwa!

Namun ada sisi ‘gelap’ dalam cerita Si Luncai ini. Nampaknya agama telah dieksploitasi untuk memperjuangkan kepentingan peribadi atau kelompok. Si Luncai telah menggunakan taktik ini dan angkara ini terus berkesinambungan hingga kini. Agama terus diperalatkan justeru sifatnya yang lebih maknawi dan subjektif serta sukar ‘diukur’. Keislaman selalunya dilihat pada ritual dan kulit, bukan pada ‘substance’ atau isi. Ini dipergunakan oleh Si Luncai untuk menipu raja.

Ya, bagi mereka yang hanya punya keinginan dan semangat (tetapi kurang ilmu asas dan rujukan yang tepat), maka mudahlah ditipu oleh ‘Si Luncai’ moden yang kaya dengan pura-pura. Ramai manusia moden hari ini seolah-olah menjadi ‘raja’ dalam cerita Si Luncai apabila berdepan dengan soal kerohanian.

Malah profesor, doktor, ahli perniagaan serta ahli sains dan ekonomi pun turut terperangkap dengan ‘gula-gula’ kerohanian. Akibat miskin ilmu wahyu dan rujukan yang autentik, akal cuba dipisahkan dengan hati. Kononnya hati sahaja yang mampu menjangkau soal rohani yang berbelit-belit. Dimomokkan seolah-olah akal dan hati saling bermusuhan dan kerohanian adalah subjek yang mesti dituruti dan dipatuhi dengan ‘kosong’ kepala.

Mereka lupa, roh ilmu daripada kalimah awalan Quran – Iqra’ – dan betapa persoalan iman diterangkan oleh Allah sendiri dengan dalil maqru’ah (naqli) dan manzurah (aqli). Justeru pada hakikatnya, akal dan hati adalah gandingan serasi untuk mendapat kebenaran. Tidak ada agama bagi yang tidak berakal!

Kini muncullah ‘Si Luncai’ moden dengan citra alim dan warak, berbaju agama tetapi berhati serigala. Boleh jadi dia muncul dalam gelanggang ekonomi, politik atau sosial. Ceritanya tetap sama … mimpi alam rohani dengan janji-janji murni yang diadun antara realiti dan fantasi. Ada kebenarannya, tetapi melaut kepalsuannya. Dan mereka hakikatnya adalah taukeh ‘skim cepat kaya’ yang menabur saham-saham pengampunan dosa dan jalan pintas ke syurga. Lahiriah indah dan tampak gagah, tetapi isinya adalah strategi biasa ahli siasah (politik) atau tijarah (ekonomi).

Malangnya, kerana abad ke-21 adalah abad ‘lapar rohani’ maka ‘mi segera’ jenama agama ini mudah mendapat pasaran. Sekali lagi strategi ‘Si Luncai’ telah digunakan … kali ini dengan maksud jahat dan sesat. Ramai yang tertipu oleh kelicikan Si Luncai jika tidak punya keberanian, ilmu asas yang kukuh dan dihantui oleh dosa-dosa silam. Ya, jika manusia zaman moden ini mempunyai ilmu asas yang kuat, tidak dibayangi oleh dosa-dosa lampau yang melampau, maka ajakan ‘Si Luncai’ jenama agama tidak akan mendapat sambutan.

Orang yang boleh ditipu hanya orang yang dungu. Orang yang boleh digertak, hanya orang yang banyak salah. Si Luncai tahu itulah hakikat raja yang sedang dihadapinya. Dan kita mesti membuktikan bahawa kita lebih cerdik dan lebih baik dengan memantapkan ilmu, amal dan bertaubat. Tidak ada jalan pintas ke syurga. Biarlah Si Luncai terjun dengan labu-labunya!

Dipetik daripada http://genta-rasa.com/ oleh ust. Pahrol Mohamad Juoi